
Walaupun terdapat pelbagai campur tangan dalam soal pengendalian isu Kartika, namun masih lagi tiada sebarang jalan penyelesaian yang dapat diutarakan. Tapi apa yang pasti, semuanya seolah berbalik kepada Islam itu sendiri. Terbaru Presiden Pas, Hadi telah memperjelaskan mengenai proses perlaksanaan hukuman tersebut secara terperinci. Menurut beliau hukuman rotan itu sendiri tidak akan meninggalkan kesan luka dan hayunan rotan tersebut haruslah tidak menampakkan ketiak perotan itu. Ternyata gambaran yang terlintas di fikiran ramai membuatkan tercetus konflik diantara perlaksanaan hukum Islam yang bertentangan dengan kod panel seperti yang diwar-warkan oleh puak yang membantah perlaksanaan hukuman tersebut.
Dalam kita sibuk menabur publisiti dalam menyelesaikan isu ini, masih terdapat ratusan, malah ribuan restoran dan bar yang menghidangkan arak kepada sesiapa saja yang memesannya. Persoalannya hendak minum ataupun tidak? Para pelancong dari luar sama ada Islam ataupun bukan Islam bebas berbuat apa sahaja dengan mengikut cara sekular meraka. Adakah negara kita ini juga sebuah negara yang sekular? Saya tidak tahu, yang pasti Perlembagaan Malaysia mengatakan begitu. Tetapi bukankah Melayu sepatutnya tidak tergolong dalam golongan sekular? Bukankah itu namanya mencemar Perlembagaan? Saya tidak tahu kerana saya bukan seorang peguam.
Yang pasti aturan dalam perlaksanaan hukum Islam itu sendiri tidak harus dipertikai dengan melontar persoalan mengenai tahap keberkesanan sesuatu hukuman itu, kerana bukan semua perkara dalam agama dapat tercapai dengan logik akal.
Namun yang demikian, terdapat ramai lagi rakyat di negara kita ini sedang menikmati kebahagiaan dibawah sinar matahari tropika sambil memeluk erat botol arak dan sebahagian besar dari meraka bahkan tidak peduli atau ingin mengambil tahu krisis yang menjulang diatas kepala mereka tanpa ada sebarang ganguan. Adakah mereka ini terkecuali?